8 Ungkapan, Jaminan Hubungan Berkekalan
Tolak tepi tanggapan buang tabiat sebaliknya gunakan lapan ungkapan di bawah untuk ditujukan kepada pasangan sehidup semati anda dengan harapan dapat mengekalkan hubungan perkahwinan yang dibina. Sudah bersedia?
1. "I miss you."
Beritahu pasangan anda bahawa anda merindukannya setiap saat dengan menghantar teks ringkas di telefon bimbit. Kemudahan Whatsapp, We Chat, LINE dan banyak lagi pasti lebih menarik kerana anda boleh sertakan sekali 'emoticon' comel dan mencuit hati. Jika anda sedang berehat di rumah bersama anak-anak, hantarkan gambar keluarga dengan pesanan seperti,"Kami tidak sabar menunggu awak balik dari kerja!"
2. "Bagaimana hari anda?"
Sentiasa bertanyakan bagaimana harinya di tempat kerja atau harinya bersama anak-anak. Kerap bertanya akan membuatkan pasangan anda merasa disayangi dan tenang kerana percaya di hati anda cuma anda dirinya dan anak-anak.
3. "Awak masih ingat masa ketika...?"
Mengingatkan pasangan anda tentang kenangan-kenangan menarik ketika bersama boleh membuatkan pasangan anda tersenyum simpul. Mana tidaknya, menceritakan kembali detik bulan madu, percutian kali pertama sebagai suami isteri, pengalaman pertama kali hamil dan sebagainya bisa menghangatkan kembali hubungan yang dibina. Pasti banyak kisah yang boleh dikongsi.
4. "Boleh saya bantu?"
Perasaan panik dan kelam kabut setiap pagi gara-gara terlewat bangun untuk ke pejabat boleh menimbulkan stres apabila anda tidak pandai memainkan peranan. Menyuruh pasangan bertenang dan menghulurkan bantuan boleh membuatkan pasangan kembali tenang apabila anda bersedia membantunya mencari kunci kereta!
5. "Apa pendapat anda?"
Dalam setiap perhubungan tidak sepatutnya ada sikap diktator sebaliknya biarlah bersikap demokrasi. Sentiasa bertanyakan perasaan dan pendapat pasangan meskipun perihal besar atau kecil. Sebagai contoh, jika anda merancang untuk bercuti, minta pendapat pasangan supaya sama-sama akan berpuas hati dengan pilihan lokasi percutian.
6. "Awak sangat cantik / tampan"
Jika anda tidak memuji pasangan anda, bagaimana anda mahu mereka merasa dihargai dan diperlukan? Pujian bukan dari fizikal saja tetapi beri pujian dari segi sikap dan penampilan mereka. Sebagai contoh,"Saya menyayangi sikap awak yang berkeyakinan tinggi," dan "Saya suka lihat awak mengenakan selendang merah."
7. "Maafkan saya. Awak benar."
Setiap hubungan pasti ada pasang surutnya. Membuat kesilapan itu tidak mengapa asalkan anda sentiasa merendah diri untuk mengungkap kata maaf dan bersikap bertanggungjawab. Menolak untuk mengaku kesilapan akan membuatkan persengketaan menjadi panjang dan memberi kesan buruk kepada anak-anak.
8. "I love you."
Tidak kira berapa lama anda kenal pasangan anda, ungkapan tiga perkataan ini tidak pernah hilang dan bosan maksudnya. Sentiasalah ucapkan kata sayang kepada pasangan anda kerana ucapan yang diterima tidak akan pernah basi dan bosan untuk didengar sebaliknya sentiasa rasa terharu dan malu biarpun banyak kali diungkap. Lihat betapa magisnya ungkapan "Aku cinta padamu."
Kami pasti anda mempunyai ungkapan tersendiri atau isyarat tertentu sebagi bukti cinta bersama pasangan. Biarpun 'aneh' bagi orang lain tetapi cukup romantik buat anda. Jangan lupa bagi ciuman setiap pagi kepada 'honey boo boo' anda!
sumber: SD Keluarga
0 comments: