Cara Jaga Hati Si Kecil Soal Kehilangan
Memang sukar untuk terima berita kesedihan atau kehilangan, tambah pula bagi dunia si kecil yang hanya nampak keindahan semata. Sebagai ibu bapa, khabar pahit tidak harus dirahsiakan daripada si kecil. Tetapi perlu ada cara tertentu agar si kecil tidak merasa tertekan dan tidak selamat. Lima tips di bawah mungkin boleh membantu:
1. Tunggu usia tujuh tahun
Apabila anak memasuki alam persekolahan, pemikiran mereka lebih terdedah dan persoalan demi persoalan akan mula terjah pemikiran, mereka akan mula bertanya kepada anda tentang pelbagi perkara. Minda anak-anak makin mampu menerima maklumat yang logik. Dan anda boleh menceritakan tentang peristiwa hitam yang melanda keluarga.
2. Aju pertanyaan
Bertanyalah tentang perasaannya. Mungkin si kecil merasa takut. Atau mungkin mereka hanya ingin mengetahui perkara yang sebenar. Ini kerana dalam usia yang sebegini, si kecil mungkin tidak pandai menerangkan perasaan sebenar mereka melainkan apabila ditanya.
3. Berikan jaminan
Kehilangan seseorang yang penting pastinya sukar buat seseorang individu yang matang. Tetapi jangan sesekali memandang rendah kepada si kecil dan menganggap mereka tidak mampu merasa kesedihan yang sama. Tekanan yang dialami oleh si kecil pastinya lebih. Berikan jaminan kepada mereka bahawa mereka tidak akan keseorangan di dunia ini dan anda akan sentiasa berada disisinya.
4. Beri ruang pada si kecil
Jangan memaksa si kecil untuk menerima hakikat tersebut seperti mana anda menerimanya. Si kecil masih mentah serta masih belajar untuk menerima erti sebuah kehilangan. Berilah masa padanya untuk bersendirian. Sentiasa yakinkan si kecil bahawa anda tidak akan meninggalkannya agar si kecil tidak merasa tekanan yang berganda.
5. Gunakannya sebagai salah satu didikan
Apabila kita kehilangan seseorang yang dikasihi, bukanlah sesuatu yang perlu ditangisi sepanjang masa. Mungkin melalui pengalaman ini, anda boleh mendidik si kecil tentang pentingnya kasih sayang serta menghargai mereka yang dikasihi ketika masih hidup. Ini akan mengajar si kecil untuk lebih menghormati serta menyayangi setiap insan di sekelilingnya.
Oleh:Nadia Mingguan Wanita
0 comments: